Ramai gadis ketika ini terperangkap dengan situasi bercinta dengan suami orang. Walau bukan itu yang dimahukan namun kerana lakonan dan permainan lelaki yang cukup mantap, si gadis akhirnya jatuh cinta dan terjerat dengan hubungan sebegini.
Bila status lelaki diketahui, ramai yang merasakan ia sudah terlambat, hati sudah pun terlanjur mencintai dan amat sukar untuk melepaskan dirinya. Akibatnya ada gadis yang sanggup menjadi madu atau mengambil lelaki yang sudah menjadi milik orang lain. Adakah ini kesudahan yang dimahukan oleh anda yang belum berumahtangga?
Jika tidak, panduan berikut mungkin berguna. Langkah pertama untuk mengelak berhadapan dengan situasi ini ialah dengan mengenali ciri-ciri lelaki beristeri. Lelaki yang sudah beristeri sebenarnya ada ciri-ciri yang tersendiri. Anda perlu pandai meneliti dan membaca perlakuannya agar tidak mudah terpedaya dengan lakonannya untuk mencuri cinta.
Selain itu ia penting juga supaya anda tidak termakan pujuk rayu yang kadang-kadang merugikan diri anda sahaja.
Bercinta dengan suami orang sememangnya akan mengambil banyak masa dan tenaga anda. Sukar untuk memilikinya kerana dia sudah beristeri dan kalau mampu memilikinya sekalipun anda harus berkongsi kasih dan berkorban banyak perkara untuknya. Jadi sebelum terjebak dengan cinta suami orang, ketahuilah ciri-ciri lelaki beristeri.
Ketahui Ciri-ciri Lelaki Beristeri
1. Elak topik tertentu
Dia menjaga suaranya dan selalunya cukup berlemah-lembut. Selain itu, lelaki ini juga tidak akan membuat hubungan mata dengan anda atau memandang anda tepat pada mata seolah-olah takut-takut. Di samping itu, lelaki beristeri juga selalunya akan cuba mengelak diri bila topik-topik seperti keluarga, anak dan percutian dibangkitkan. Kalau anda terlanjur berbicara tentangnya dia akan cuba sedaya upaya mengalih topik perbincangan.
2. Semua panggilan telefon mengikut arahannya
Si dia berkeras agar anda hanya menghubunginya pada waktu yang telah ditetapkan. Misalnya selepas jam 12 malam, selepas semua ahli keluarganya tidur. Ataupun dia menetapkan hanya dia saja yang akan menghubungi anda.
Dia akan memberi pelbagai alasan mengapa anda tidak boleh menghubunginya sesuka hati. Lelaki yang sudah beristeri juga tidak akan memberikan nombor telefon rumahnya walaupun diminta berkali-kali.
3. Tidak sepenuhnya kepada anda
Ketika bersama dengan lelaki beristeri, anda boleh melihat hatinya tidak sepenuhnya kepada anda. Dia kelihatan resah gelisah dan sekiranya keluar di tempat awam dia asyik memerhatikan persekitarannya, bimbang bertemu dengan orang yang dikenali.
Jika anda dapat merasakan kegelisahan ini maka dengarkanlah suara hati anda. Selain itu anda boleh membaca cara dia mengendalikan hubungan bersama anda. Ketika anda serius dan mahukan ketentuan masa depan, si lelaki akan relaks saja. Dia tidak bercakap tentang hal perkahwinan dan masa depan.
4. Lihat jarinya
Ini cara paling mudah mengenali lelaki beristeri. Lihatlah pada jarinya, ada lingkaran putih pada jari keempat tangan kirinya, tempat cincin kahwin biasa dipakai. Tetapi apabila bertemu dengan anda, si dia tidak akan mengenakannya. Buat-buatlah bertanya kenapa putih di bahagian itu, pasti dia akan memberi pelbagai alasan ataupun ragu-ragu menjawab.
5. Berahsia
Si dia berahsia pada masa yang tidak kena. Selalunya dalam perhubungan seorang jejaka akan meluahkan banyak rahsia tentang dirinya tetapi lelaki beristeri sebaliknya. Dia akan terus berahsia dalam banyak perkara lebih-lebih lagi yang membabitkan keluarga.
6. Beri alasan
Si dia mengelak berkunjung ke tempat-tempat tertentu bila diajak. Dia akan memberikan pelbagai alasan termasuklah yang tidak logik di fikiran anda kalau sudah terdesak. Sebagai contoh, si isteri mungkin selalu membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah maka jangan haraplah si dia akan masuk ke situ bersama anda walaupun anda mengajaknya berulang kali.
7. Tidak akan keluar pada hari minggu
Lelaki beristeri tidak akan menghabiskan hari minggunya bersama anda. Bagi lelaki yang telah berkeluarga, hari minggu adalah untuk keluarga, sementara malamnya pula adalah untuk sesama rakan lelaki. Si dia akan cuba mengelak keluar bersama anda pada hari tersebut dan seperti biasa bermacam-macam alasan akan diberikan.
8. Bersikap tenang
Walaupun ada lelaki beristeri gelisah ketika keluar bersama pasangan barunya, namun ada juga yang tenang dan penuh keyakinan. Selalunya setinggi manapun keyakinan seorang lelaki tapi apabila dia terikat dalam satu perhubungan mereka akan resah dan bingung. Namun ada lelaki tenang saja, bagi mereka dengan memiliki isteri di rumah, tiada apa yang perlu dirisaukan.
9. Anda curiga
Jika anda mencurigai setiap lelaki yang anda temui sudah beristeri maka kemungkinan ini hanya prasangka sahaja. Tapi jika anda mendadak merasa curiga dengan keperibadian pasangan anda sekarang maka percayalah pada rasa hati anda itu.
Sekiranya setelah membaca tips ini anda yakin pasangan anda sekarang adalah lelaki beristeri, maka tanyalah terus-terang pada dirinya. Sekiranya dia mengaku dan berjanji akan menceraikan isterinya jangan sesekali mempercayai kata-kata tersebut. Kemungkinan untuk dia melakukan adalah terlalu kecil.
0 Pembaca:
Post a Comment